-

Telemovie Dengan Lafaz Bismillah Lakonan Tiz Zaqyah Dan Izzue Islam

Lakonan mantap pelakon Tiz Zaqyah, Izzue Islam, Iqram Dinzly, Normah Damanhuri dan Zulkifli Ismail, kisah ini membawa penonton ertikata mencari kebahagiaan hidup yang sebenarnya. Drama yang memaparkan kegagalan serta kekecewaan seorang ibu cuba membentuk sebuah keluarga bahagia tidak kesampaian ekoran dari kesumat yang meracuni jiwa anaknya telah memisahkan kasih sayangnya selama ini. Namun apa yang mampu dia hanya berserah dan berdoa agar satu hari nanti anaknya akan berubah dan kembali ke pangkal jalan biarpun nyawanya menjadi galang ganti.

Kisah Mak Seri tinggal berseorangan dikampung setelah kematian suaminya. Hanya Jamilah tempat mengadu dan meluah perasaan rindu juga kecewanya pada anak perempuannya Zaleha. Zaleha berdendam padanya ekoran perkahwinan tanpa persetujuan dirinya, namun sebaliknya perkahwinan itu menyembunyikan rahsia Zaleha yang telah mengandung anak luar nikah. Bagi Mak Seri apa yang dilakukan itulah yang terbaik untuk anaknya. Sungguhpun Zaleha tidak meluahkan perasaan itu, tapi Mak Seri tahu, Lokman bukanlah pilihan hatinya. Sehingga kini Mak Seri tahu, Zaleha masih tak dapat terima Lokman dalam hatinya.

Sementara itu Zaleha begitu kecewa kerana tak dapat bersama Johari anak ketua kampung yang dicintai itu tanpa pengetahuan Mak Seri sehinggalah berita kehamilannya diketahui. Mak Seri memaksa Zaleha berterus terang namun Zaleha terus membisu seribu bahasa sehinggalah suasana yang tegang. Ketika itu muncul Lokman yang mengaku mengandungkan Zaleha. Tapi Mak Seri tahu Lokman berbohong. Bagi Lokman dia sanggup melakukan apa saja demi Mak Seri biarpun hakikatnya dia amat menyayangi Suraya, anak saudara Jamilah. Suraya tahu Lokman dalam dilema antara dia dan Mak Seri. Antara kasih dan kasihan, satu darinya terpaksa dikorbankan.

Selepas beberapa bulan pernikahan, Zaleha mengajak Lokman berpindah ke bandar kerana tak mahu hidupnya diganggu tapi Lokman menolak permintaannya itu. Sehinggalah berlaku satu kemalangan dimana tak sengaja Lokman tertolak Zaleha hingga menyebabkan pendarahan yang serius. Zaleha dikejarkan ke hospital, malangnya anak itu tak dapat diselamatkan. Atas pujukan dan nasihat Mak Seri, demi kebahagiaan Zaleha, Lokman memenuhi saja kehendaknya dengan harapan Zaleha akan berubah perangai.

Ekoran dari itu, Zaleha langsung tak menjenguk Mak Seri apatah lagi bertanya khabar. Perasaan dendamnya dan tak puas hati masih menebal dalam hatinya. Pernah dia menyuarakan hasratnya untuk bercerai dengan Lokman, tapi sebaliknya dia dimarahi oleh Mak Seri. Mak Seri cuba menyedarkan anaknya tentang kebaikkan Lokman selama ini tapi sebaliknya Zaleha menafikan dan menuduh Lokmanlah punca dia terpaksa berpisah dengan Johari dan menyebabkan kematian anaknya.

Mak Seri hanya bergantung harap pada Lokman agar dapat membimbing anaknya kerana dia yakin Lokman saja yang boleh membentuk Zaleha ke arah kebaikkan. Bagi Lokman ini saja jalan dapat membalas segala pengorbanan Mak Seri dan dia tak mahu Mak Seri terus menangung malu ekoran perbuatan Zaleha yang menconteng arang ke mukanya.

Kesabaran Lokman tercabar juga bila Zaleha menghalang dia pulang ke kampung untuk menjenguk Mak Seri yang sedang sakit. Zaleha terus terdiam bila Lokman yang selama menundukkan kepala telah hilang kesabarannya Berlakulah pertengkaran antara mereka berdua dimana Zaleha minta diceraikan semata mata ingin hidup bersama Johari, sebaliknya Lokman menunjukkan keratan akhbar yang mengatakan Johari bakal dihukum kerana mengedar dadah. Zaleha terpaku, Lokman terus keluar meninggalkan rumah itu. Sementara itu Suraya masih setia menanti Lokman.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Post a Comment